การป้องกันโรคติดต่อ เป็นข้อบังคับในอิสลาม (PEMELIHARAAN KESIHATAN, PENGAWALAN PENYAKIT BERJANGKIT AMAT DITUNTUT ISLAM )


การป้องกันโรคติดต่อ..ในอิสลาม (ภาษามาลายู)

 

 

PEMELIHARAAN KESIHATAN, PENGAWALAN PENYAKIT BERJANGKIT AMAT DITUNTUT ISLAM

Posted by drkuzaki , on May 19, 2009 at 2:59 PM
Category: UMUM

Allah taala yang bersifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah menganugerahkan pelbagai nikmat kepada hamba-hambaNya di atas muka bumi ini. Akan tetapi kurniaan aneka nikmat tersebut tidak dapat dihitung oleh sesiapa pun sesuai dengan mafhum firman Allah dalam surah Ibrahim, ayat 34 bermaksud: Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya.

            Antara kurniaan nikmat yang tiada ternilai harganya ialah nikmat kesihatan. Dengan kesihatan ini, manusia dapat menjalani kehidupan ini dengan aman sentosa. Dengan kesihatan juga, manusia dapat melakukan kerja dan aktiviti harian dengan lancar dan baik. Begitu juga dengan kesihatan yang menghiasi seseorang, dia dapat melakukan ibadah kepada Allah taala dengan sempurna. Demikianlah tingginya nilai kesihatan yang mewarnai serinya kehidupan Muslim .

            Akan tetapi, ada manusia yang alpa dan leka dek kesihatan yang menyerikan hidupnya hinggakan dia tidak menghargai betapa mahalnya nilai kesihatan dalam kehidupannya. Dia tidak sedar dan insaf betapa sihat itu juga sebahagian dari detik kehidupan yang dia lalui. Dalam hal ini, Rasulullah ada memberi peringatan tentang kesihatan ini di mana baginda bersabda yang bermaksud: Ada dua jenis nikmat yang banyak melekakan ramai manusia; iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang. (Hadis riwayat Bukhari)

Kebanyakan manusia hanya menyedari betapa mahalnya nilai kesihatan apabila mereka ditimpa kesakitan atau ditimpa penyakit. Dalam keadaan ini, barulah mereka menginsafi betapa kesihatan amat penting dalam kehidupan mereka. Pada ketika itu, barulah mereka menyedari betapa perlunya mereka menjaga diri mereka dan juga mengekalkan kesihatan mereka supaya aktiviti kehidupan mereka tidak tergendala.

            Perlu diingat bahawa maksud kesihatan ini menurut perspektif Islam bukan hanya terhad kepada kesihatan lahiriah atau jasmaninya sahaja, malahan ia juga turut mencakupi kesihatan batinnya atau rohaninya. Hakikat ini menepis sama sekali kesilapan persepsi umat Islam yang hanya menekankan kepada kesihatan jasmani semata-mata dengan mengabaikan aspek kerohanian yang amat penting dalam menentukan nasib kesudahan setiap Muslim.

Begitu juga, Islam menolak pandangan sebahagian umat Islam yang hanya menitik beratkan kesihatan rohaninya sahaja tanpa mengambil berat akan aspek kesihatan jasmaninya. Justeru itu, Islam adalah ad Din yang seimbang dalam urusan duniawi dan ukhrawi. Kedua-duanya ada hak yang perlu ditunaikan dan dilaksanakan sebagaimana firman Allah taala dalam surah al-Qasas, ayat 77 yang bermaksud: Tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau lupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) di dunia. Ayat ini mengungkapkan dengan jelas bahawa di samping mengejar pahala dan ganjaran akhirat, kita tidak boleh melupakan tuntutan dunia.   

            Kalaulah begini kepentingan kesihatan dalan kehidupan Muslim, maka kita melihat betapa Islam dari awal-awal lagi telah memberi perhatian yang serius dalam isu kesihatan ini. Jika diperhatikan secara halus, kita mendapati Islam menyediakan garis panduan yang lengkap kepada umatnya  tentang kesihatan dari segi penjagaan, pengekalan dan pengawalannya.           

            Sehubungan dalam hal ini, apabila kita cuba menbelek kitab fikah sebagai contohnya, maka kita akan menemui bab yang pertama ialah berkaitan tentang Taharah iaitu tentang kesucian. Dalam bab ini, Islam telah mensyariatkan kepada setiap Muslim supaya mengambil wudhu’ sebelum menunaikan solat lima waktu dan sebagainya. Begitu juga disyariatkan mandi untuk kebersihan diri dan juga bersugi untuk kebersihan gigi. Sabda Rasulullah yang bermaksud: Mandi hari Jumaat itu wajib atas tiap-tiap orang yang baligh kemudian bersiwak (gosok gigi) dan mengenakan sedikit wangian. (Hadis riwayat Muslim)

            Ini bermakna bahawa kebersihan dan kesucian diri adalah asas yang penting ke arah kesihatan jasmaninya. Bahkan kebersihan dan kesucian diri ini juga adalah antara sifat-sifat utama bagi Muslim yang bertaqwa dan juga layak mendapat mahabbah iaitu kasih sayang Ilahi. Ini bertepatan dengan firman Allah taala yang bermaksud: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan dirinya. (Surah al-Baqarah, ayat 222)

            Seterusnya, Islam terus menunjukkan keperihatinannya dalam hal kesihatan ini dengan memberikan panduan dan tips ke arah penjagaan kesihatan yang berterusan. Antaranya sabda Rasulullah yang bermaksud: Lima amalan ini daripada fitrah iaitu mencukur bulu di bahagian kemaluan, berkhatan, mengguntu-ing misai, mencabut bulu ketiak dan mengerat kuku. (Hadis riwayat Bukhari)

Begitu juga apabila kita hendak mengadap hidangan makanan, maka Islam menganjurkan kita membersihkan tangan terlebih dahulu sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: Berkat makanan itu terletak pada wudhu’ sebelumnya dan wudhu’ selepasnya. (Hadis riwayat Abu Daud)

Maksud hadis ini menuntut kita supaya menjaga kebersihan bila mengadap makanan dengan berwudhu’ sebelumnya. Sekurang-kurangnya, memadailah dengan membasuh  kedua belah tangan dan begitu juga selepas makan. Dalam satu hadis yang lain, baginda pernah bersabda yang bermaksud: Cungkillah dan bersihkanlah gigi kamu selepas makan kerana itu adalah kebersihan. Kebersihan akan membawa kepada Iman dan Iman mengiringi tuannya ke dalam syurga. (Hadis riwayat Tabarani)

            Di samping itu, Islam juga menggalakkan kita supaya melakukan aktiviti-aktiviti kecergasan badan seperti berenang, memanah dan menunggang kuda. Aktiviti ini hendaklah disesuaikan dengan peredaran dan keadaan masa kini berdasarkan kemampuan  yang sedia ada pada setiap individu seperti bersenam, berjogging, bermain bola sepak, mendaki bukit dan sebagainya. Yang pentingnya, kita dapat mengembalikan kecergasan tubuh badan kita di samping kita dapat mengekalkan kesihatan kita pada setiap masa.

Selain itu, Islam telah mengharamkan beberapa jenis makanan haram yang perlu dijauhi seperti arak, dadah, bangkai dan lain-lain lagi. Ini penting kerana Allah Maha Mengetahui betapa makanan tersebut membawa lebih banyak kemudaratan kepada manusia berbanding dengan manfaat yang sedikit. Oleh sebab itulah, Allah taala mengharamkan makanan tersebut bagi kebaikan dan kesihatan manusia itu sendiri. Hal ini telah dirakamkan oleh Allah taala dalam surah al-Baqarah, ayat 219 yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat kepada manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.

Segala perkara yang terkandung dalam tegahan-tegahan tersebut ialah perkara-perkara yang menjadi punca bagi penyebaran penyakit-penyakit di kalangan orang-orang Islam kerana orang awam selalu mengabaikannya dalam kehidupan mereka seharian. Oleh itu Islam telah menggariskan kaedah-kaedah tertentu sebagai mengawal kesihatan penduduk-penduduk sesuatu tempat iaitu bila berlaku satu-satu wabak penyakit yang berjangkit di satu-satu tempat, maka penduduk di tempat itu hendaklah dilarang keluar dan  masuk dengan maksud supaya wabak tersebut tidak merebak ke kawasan yang lebih besar.

Dalam hal ini, Rasulullah telah bersabda maksudnya: Jika kamu dengar berita suatu wabak taun berlaku di satu-satu tempat maka janganlah kamu memasukki tempat itu dan jika ia sedang berlaku di tempat kamu maka janganlah kamu keluar daripadanya. (Hadis riwayat Bukhari) 

Di samping itu, Islam menggalakkan umatnya di tempat yang terkena wabak itu supaya terus tinggal di tempat tersebut kerana telah menjadi kebiasaan kepada kebanyakan orang untuk menyelamatkan diri dan juga melarikan diri dari tempat tersebut. Akibat dari tindakan mereka itu biarpun untuk kepentingan diri mereka sendiri, namun ia membawa bala bencana kepada seluruh negara dan umat lain. Oleh kerana itu, Rasulullah pernah bersabda maksudnya: Seseorang hamba (Muslim) yang berada dalam satu-satu negeri yang terkena wabak taun maka hendaklah dia tetap diam di dalamnya, jangan sama sekali dia lari keluar daripadanya –bersabar dan mengharapkan ganjaran Tuhan– dan dalam hatinya dia berkeyakinan bahawa dia tidak akan terkena sesuatu kecuali apa yang telah ditentukan Allah taala untuknya. Baginya ganjaran pahala sebagaimana pahala orang yang mati syahid. (Hadis riwayat Bukhari)

Mungkin ada orang yang nekad hendak memasuki negeri-negeri yang ditimpa wabak berjangkit dengan hujah takutkan penyakit adalah tanda kelemahan iman atau lari dari takdir. Padahal tindakan dan fahaman seumpama ini adalah salah menurut perspektif Islam. Pernah tercatat dalam sejarah Islam bahawa Saidina Umar al-Khattab menolak pemergiannya ke negeri Syam tatkala berlakunya wabak taun di sana. lalu ada orang berkata kepadanya: Adakah tuan hendak lari dari takdir Tuhan? Ujar Saidina Umar: Kita lari dari takdir Tuhan kepada takdir Tuhan.

Jelas daripada kisah di atas bahawa berikhtiar, bertawakal dan berusaha dengan menggunakan sebab-sebab itu adalah suatu perkara yang dituntut Islam. Apa yang telah dinyatakan dan dilakukan oleh Saidina Umar tadi termasuk dalam pengertian takdir. Dalam erti kata lain, Islam memerintahkan umatnya supaya berwaspada dan mengawal diri dari penularan penyakit berjangkit. Sehubungan itu, Rasulullah bersabda maksudnya: Tidak sepatutnya orang yang sakit mengunjungi (bergaul dengan) orang yang sihat. (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam satu hadis lain, Rasululah bersabda yang bermaksud: Hendaklah engkau lari daripada pesakit kusta sebagaimana engkau lari dari seekor singa. (Hadis riwayat Ibnu Jarir)

Demikianlah antara garis panduan Islam yang serba lengkap berkenaan kesihatan dari sudut penjagaan, pengekalan dan pengawalannya serta kepentingannya dalam hubungan seseorang Muslim terhadap Allah taala dan hubungan seseorang Muslim sesama Muslim.

     ที่มา : http://blogs.udm.edu.my/drkuzaki/2009/05/19/pemeliharaan-kesihatan-pengawalan-penyakit-berjangkit-amat-dituntut-islam/

หมายเลขบันทึก: 266396เขียนเมื่อ 6 มิถุนายน 2009 21:32 น. ()แก้ไขเมื่อ 12 กุมภาพันธ์ 2012 07:10 น. ()สัญญาอนุญาต: ครีเอทีฟคอมมอนส์แบบ แสดงที่มา-ไม่ใช้เพื่อการค้า-อนุญาตแบบเดียวกันจำนวนที่อ่านจำนวนที่อ่าน:


ความเห็น (1)

  • ผมสอนใจมากเลยครับ ตามประเด็นชื่อเรื่องที่ตั้งไว้ แต่ผมไม่สามารถเข้าใจได้ตามที่นำเสนอไว้ครับ 
  • จะแนะนำผมอย่างไรได้บ้างที่จะทำความเข้าใจในประเด็นนี้ครับ
  • ขอบคุณครับ
พบปัญหาการใช้งานกรุณาแจ้ง LINE ID @gotoknow
ClassStart
ระบบจัดการการเรียนการสอนผ่านอินเทอร์เน็ต
ทั้งเว็บทั้งแอปใช้งานฟรี
ClassStart Books
โครงการหนังสือจากคลาสสตาร์ท